Tuesday, August 5, 2014

Rendang Minang Mama

Salam Aidilfitri
Musim raya ni eileen usahakan menuntut dengan mama resipi Rendang Minang Mama. Siapa tak mengaku masakan air tangan mak sendiri lagi sedap kan? 



Dalam pemerhatian Eileen, rendang resipi mama ni memang world class! Ramuannya banyak isi daging, limpa dan hati. Rencahnya memang 'RICH' dan PEDAS!! Kalau tidak, takkan laa saudara dan tetamu makan bertambah. Siap minta bekal sikit untuk dibawa balik. Makan dengan nasi putih pun bertambah.

Setiap kali raya mama memang tak pernah 'missed' masak rendang.. Tak banyak dapat sikit pun jadi laa untuk makan pagi raya. Selalunya waktu mama sibuk di dapur, Eileen sibuk mengemas rumah.. Tak kesempatan nak perhati pun mama masak.
Kali ini tika mama kunjung dirumah, cepat2 Eileen beli bahan minta tolong mama turunkan ilmunya. Alhamdulillah, menjadi!!

Rupanya leceh juga nak masak rendang ni. Mahu seharian juga (andai buat sorang diri). Banyak ramuan yang perlu disediakan. Kena sabar menunggu rendang masak, bukan boleh main kacau je. Hancur daging jadi serunding pulak. Tak dijaga takut hangit! Main panas api lagi, bayangkan kalau buat masa berpuasa.. Owh, letih!

Tapi, bila dah siap.. Puas hati makan. Tapi yang sedihnya bila tetamu jenis senduk dalam pinggan banyak, tapi tak habis makan sebab tak tahan pedasnya. Nak menangis tengok daging, limpa & hati yang tak dimakan tu. (Faham je laa, daging tu bukannya murah..mahal tau tak?). Dah la nak membuatnya payah..

Jadi di sini Eileen nak kongsi resipi Rendang Minang Mama yang super delicious ni. 





4 kg Isi ( 2.5kg Daging, 1kg Limpa, 1/2kg Hati ) *nak buat daging sahaja pun boleh. Dipotong dadu, bersihkan, toskan. Asingkan daging satu bekas, limpa & hati satu bekas.

4 kg Santan

3 sudu Biji Ketumbar
2 sudu Biji Lada Hitam
1 sudu Jintan Halus
1 sudu Jintan Kasar
* rempah ni dibilas, disangai / goreng tanpa minyak, dikisar kering hingga halus.




1/2 sudu Biji Pelaga
7 kuntum besar Bunga Lawang
3  Kulit Kayu Manis
* asingkan untuk bahan tumis.

2 labu Bawang Putih
2 cawan Bawang Merah
Sebesar tapak tangan Halia
* bahan ini dibahagikan dua. 
1 bahagian dimayang halus, 1 bahagian lagi dikisar.

4 helai Daun Kunyit
* dimayang / diracik halus
2 helai Daun Kunyit
* dikoyak tiga.

10 batang Serai
* dimayang / diracik halus
3 batang Serai
* dititik / ditumbuk pecah.

100 biji Cili Padi
* dikisar.

40 biji Cili Kering
* direbus, dikisar bersama sedikit minyak masak.

2 sudu kecil Serbuk Kunyit
4 keping Asam keping
5 paket (40gm) Kerisik
4 1/2 sudu kecil Garam
1 mangkuk minyak masak

Sebelum panaskan kuali, pastikan Semua bahan diatas telah disediakan terlebih dahulu.. Bila dah mula menumis, jangan berganjak dah dari kuali..



• Panaskan minyak masak dalam kuali besar.
Tumiskan Biji Pelaga, Bunga Lawang & Kulit Kayu Manis.
Masukkan bahagian Bawang Putih, Bawang Merah & Halia yg dimayang
Tumis sehingga kekuningan.



• Masukkan Cili Padi & Cili Kering.
Masak sehingga pecah minyak.

• Masukkan bahan disangai Biji Ketumbar, Biji Lada Hitam, Jintan Halus & Jintan Kasar.
Masukkan semangkuk sahaja Santan
Kecilkan api.



• Pastikan api tidak besar dan ramuan dalam kuali tidak terlalu mendidih membuak-buak.
Masukkan Daging sahaja.
Masukkan Daun Kunyit yang dikoyak & Serai yang dititik.
Biar masak perlahan sehingga daging kecut sedikit.



• Setelah daging kelihatan kecut sedikit, masukkan semangkuk lagi Santan, Limpa & Hati.
Kacau dengan perlahan agar Limpa & Hati tidak hancur serta tidak berkerak.
Biar masak agar daging lembut.

• Masukkan Santan hingga habis.
Masukkan Serai & Daun Kunyit yg diracik, Serbuk Kunyit, Asam Keping & Kerisik.
Kacau biar rata.
Masukkan Garam.




• Biar masak hingga pecah minyak.
Kacau rata sehingga rendang kering.. 
* jangan terlalu kering macam serunding, jaga2 jangan berkerak / hangit!



Alhamdulillah..
Ini lah hasilnya.. Pertama kali buat sendiri Rendang Minang Mama.

* dah masak, salinkan ke dalam periuk.. Biarkan sejuk. Jgn bagi berwap, nanti tak tahan lama. Bila dah sejuk, bahagi-bahagikan dalam tupperware. Simpan dalam peti sejuk, bekukan.
Nah! Stok untuk raya dah siap!!



Selamat mencuba!! 
Info Eileen bila dah cuba resipi ni yer..